[SUKAN] PAHANG tampil dalam kelas tersendiri apabila memusnahkan impian Felda
United pada perlawanan akhir Piala FA 2014 yang berlangsung di Stadium
Shah Alam malam tadi.
Pada perlawanan yang disaksikan 60,000 penoton itu, Pahang menang 2-1
menerusi jaringan Mohd. Faizol Hussaini pada minit ke-79 dan Dickson
Nwakaeme (88).
Pada aksi malam tadi, Pahang bermula hambar apabila dikejutkan dengan
jaringan pendahuluan Felda United pada minit ke-22 menerusi Edward
Wilson Junior namun, Tok Gajah bangkit gagah pada separuh masa kedua
untuk memusnahkan impian lawan mereka itu.
Kejayaan tersebut sekali gus menamatkan penantian selama lapan skuad
bimbingan Zainal Abidin Hassan itu untuk membawa pulang Piala FA ke bumi
Pahang.
Kejayaan itu juga membolehkan Pahang layak untuk beraksi dalam Piala AFC musim depan.
Pada perlawanan malam tadi, Pahang yang dilabel pasukan pilihan
bermula hambar, namun selepas mendapat rentak, mereka dilihat garang
melancarkan serangan ke kubu pasukan lawan.
Penyerang import berbisa skuad Tok Gajah, Dickson Nwakaeme terlebih
dahulu menguji kekebalan penjaga gol The Fighters, Farizal Harun tetapi
percubaannya tersasar pada minit kelima.
Tok Gajah terus mempamerkan persembahan agresif dengan melancarkan
serangan bertali arus dan mereka hampir membuka jaringan menerusi
bintang Argentina, Matias Conti.
Bagaimanapun, Conti gagal menendang masuk bola ke gawang Felda hasil
hantaran kemas daripada pemain sayap Pahang, R. Gopinathan pada minit
ke-16.
Ketika skuad Tok Gajah ghairah mencari gol pembukaan, saat-saat yang
dinantikan Felda United akhirnya tiba apabila Edward Wilson Junior
memastikan pasukannya mendahului perlawanan pada minit ke-22.
Jaringan itu hadir apabila penyerang kelahiran Liberia itu bijak
meloloskan diri menerusi gerakan satu dua bersama perancang, Indra Putra
Mahayuddin sebelum mudah menolak bola dan menewaskan penjaga gol
Pahang, Md Khairul Azhan Khalid.
Bersambung di babak kedua, Felda United tidak memperlahankan tempo
untuk terus mencari kedudukan lebih selesa dan hasilnya, Junior hampir
menggandakan kedudukan pada minit ke-49.
Begitupun, percubaan tepat Junior terkena tiang dan kapten Pahang,
Mohd. Razman Roslan berjaya mengeluarkan bola tersebut daripada kawasan
bahaya.
Pahang hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang
Conti tetapi penjaga gol Felda, Farizal tenang menyelamatkan keadaan
pada minit ke-52.
Namun, pencaturan Zainal memasukan Mohd. Faizol Hussaini akhirnya
berbaloi apabila pemain kelahiran Johor Bahru itu meledak gol penyamaan
pada minit ke-79.
Faizol yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Johor Darul
Takzim 1-0 pada separuh akhir kedua Piala FA, berjaya melepaskan
rembatan kencang yang gagal diselamatkan oleh Farizal.
Skuad Tok Gajah melengkapkan kebangkitan bergaya apabila Dickson
menjaringkan gol kemenangan Pahang pada minit terakhir perlawanan untuk
mengesahkan kemenangan 2-1 memihak kepada Pahang
No comments:
Post a Comment